KUALA LUMPUR: Persiapan atlet negara ke Sukan SEA 2025 tetap diteruskan meskipun ketika ini sedang berlaku pergolakan antara Thailand dan Kemboja.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, barisan atlet perlu fokus kepada latihan bagi memastikan prestasi di temasya dwitahunan itu berada di tahap terbaik.
Katanya, KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan sentiasa mengikuti perkembangan semasa di Thailand dan yakin apa yang terjadi ketika ini dapat diselesaikan dengan baik.
“Kami berharap hal ini dapat diuruskan dengan cepat oleh negara terbabit kerana ketika ini, ia menimbulkan rasa tidak yakin (dari segi keselamatan) dalam kalangan banyak atlet.
“Kami sememangnya bimbang dengan konflik semasa, tetapi saya yakin Perdana Menteri sedang melakukan yang terbaik untuk berunding dengan kedua-dua negara terbabit.
“Kami semua mahu keamanan di rantau ini dan dalam masa sama Sukan SEA akan berlangsung hujung tahun ini. Jadi kita harap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Menurut Hannah, pihaknya menerima banyak pertanyaan berhubung situasi itu, namun menegaskan bahawa keputusan berkaitan hala tuju dasar luar tetap bergantung kepada panduan Kementerian Luar Negara.
“Untuk KBS dan Majlis Sukan Negara(MSN) , kami bukan hanya mengikuti perkembangan luar tetapi juga bergantung kepada panduan KLN. Buat masa ini, tiada perubahan. Persiapan Sukan SEA tetap diteruskan seperti biasa,” jelasnya.-UTUSAN