Peniaga kecil terjejas ribut dikecuali 3 bulan bayar lesen

Peniaga kecil terjejas ribut dikecuali 3 bulan bayar lesen

MELAKA mengumumkan pemberian insentif khas pengecualian bayaran lesen perniagaan selama tiga bulan kepada para peniaga kecil yang terjejas akibat kejadian ribut baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan pemberian insentif khas pengecualian bayaran lesen perniagaan selama tiga bulan kepada para peniaga kecil yang terjejas akibat kejadian ribut baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, inisiatif ini dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) semasa proses pembaharuan lesen perniagaan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,300 peniaga kecil yang bernaung di bawah seliaan 10 penganjur utama di beberapa lokasi tumpuan di sekitar Melaka.

Katanya, antara kawasan yang terlibat termasuklah Jonker Walk yang menempatkan kira-kira 500 peniaga, Uptown Klebang Walk (280 peniaga), Uptown Pahlawan Walk (195 peniaga), Medan Samudera dan Floating Market masing-masing dengan 80 peniaga, serta Vintage Night Market yang turut menempatkan 80 peniaga. 

“Turut terlibat ialah tapak perniagaan di Tun Teja dan Harbour Street Market dengan 50 peniaga setiap satu, diikuti Tun Mamat Kampung Morten iaitu 40 peniaga, dan Taman Bunga Merdeka membabitkan 30 peniaga,” katanya kepada pemberita.

Katanya, kerajaan negeri amat prihatin dengan kesusahan dialami para peniaga kecil susulan bencana ribut yang menyebabkan kerosakan kepada struktur tapak niaga dan barangan perniagaan mereka.

“Saya berharap semua penganjur tapak niaga terlibat turut memainkan peranan membantu peniaga masing-masing, termasuk mempertimbangkan pemberian insentif tambahan seperti pengurangan sewa tapak selama sebulan atau apa-apa bentuk bantuan bersesuaian.

“Kita bersama tatkala susah dan senang, inilah Melaka yang cakna dan sentiasa mendahulukan rakyat. Saya berharap lebih ramai pihak tampil membantu dalam semangat kebersamaan,” ujarnya.

Sementara itu, MBMB akan menyelaras dan memantau pelaksanaan inisiatif ini agar berjalan lancar serta memastikan semua peniaga yang layak menerima pengecualian yang telah diumumkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN