Melaka yakin sasaran kutipan zakat RM152 juta

Melaka yakin sasaran kutipan zakat RM152 juta

MOHD. Ali Mohd. Rustam dan Ab Rauf Yusoh hadir ke Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri yakin sasaran kutipan zakat RM152 juta bagi tahun ini mampu dicapai meskipun tinggal kurang tiga minggu sebelum 2025 berakhir.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keyakinan itu bersandarkan trend pembayaran zakat yang lazimnya melonjak pada penghujung tahun apabila kebanyakan syarikat menutup akaun masing-masing.

Menurut Rahmad, pencapaian tahun lalu, yang turut melepasi sasaran akhir, menjadi indikator jelas bahawa kutipan tahun ini berupaya mencatat kejayaan yang sama dan Melaka setakat ini berjaya mengumpulkan RM117 juta termasuk sumbangan terkini RM7.6 juta daripada 23 agensi korporat.

“Saya yakin, sasaran RM152 juta tahun ini mampu dicapai berdasarkan pola pembayaran yang meningkat di penghujung tahun. 

“Seperti tahun lalu, kita menetapkan sasaran dan akhirnya berjaya mengumpul lebih daripada jangkaan, jadi tahun ini kita yakin momentum itu akan berulang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan oleh agensi-agensi korporat di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini, hari ini. 

Majlis penyerahan zakat perniagaan itu disaksikan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, bayaran zakat perniagaan biasanya dilakukan selepas penutupan akaun tahunan, menyebabkan jumlah kutipan sering meningkat secara signifikan pada minggu-minggu terakhir bulan Disember.

“Saya menyeru syarikat-syarikat dan individu agar tidak menangguhkan zakat kerana ia amanah tahunan.  Komitmen ini bukan sahaja membantu mencapai sasaran kutipan, tetapi memastikan lebih ramai asnaf di Melaka menerima bantuan yang sewajarnya,” ujarnya. 

Katanya, hampir 9,000 asnaf di negeri ini menerima bantuan bulanan, manakala bantuan tambahan hari raya dan Ramadan akan melibatkan jumlah penerima lebih besar di samping dana zakat turut digunakan bagi agihan bantuan persekolahan berjumlah RM2.1 juta yang memberi manfaat RM350 kepada setiap pelajar yang layak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN