Penggantungan Hishammuddin tidak dibincang dalam MKT UMNO

Penggantungan Hishammuddin tidak dibincang dalam MKT UMNO

AHMAD Zahid Hamidi hadir mempengerusikan mesyuarat Sesi Meja Bulat Ekonomi Perkongsian dan Industri GIG di Hotel Tenera, Bangi di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu penggantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam.

Ahmad Zahid berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai sebuah video yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Sembrong itu, namun belum menontonnya secara peribadi.

“Saya belum menonton video itu walaupun telah dimaklumkan. Apabila tiba masanya, saya akan bawa perkara ini ke Majlis Tertinggi untuk dibincangkan dan diputuskan secara bersama,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Meja Bulat Ekonomi Perkongsian dan Industri Gig di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, isu membabitkan bekas Naib Presiden UMNO itu turut tidak dianggap sebagai perkara utama untuk dibincangkan dalam mesyuarat semalam.

“Tidak ada perbincangan. Tidak begitu penting (tentang) perkara itu,” katanya ringkas.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Hishammuddin memberi bayangan tidak akan membuat sebarang rayuan berhubung keputusan penggantungan keahlian parti.

Beliau yakin dirinya tidak akan diadili sebaiknya serta enggan menggadaikan prinsip yang dipegang selama ini. 

MKT UMNO yang bermesyuarat malam semalam, bersedia menimbang sebarang rayuan oleh ahlinya yang dikenakan tindakan disiplin termasuk Hishammuddin.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan jelas memberi ruang kepada mana-mana individu yang ingin mencabar keputusan tindakan tatatertib terhadap mereka melalui saluran yang sah dalam parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN