KUALA TERENGGANU: Teka-teki mengenai pemain import terakhir Terengganu FC (TFC) bakal terjawab minggu ini apabila kelab Pantai Timur itu hampir pasti mengikat seorang pemain pertahanan.
Menurut sumber, pemain kelahiran Brazil berusia lewat 20-an itu sudah berada dalam radar skuad Penyu dan kini hanya menunggu proses akhir sebelum dimuktamadkan secara rasmi.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim mengesahkan bahawa pemain dari Brazil merupakan antara dua calon akhir yang dipertimbang namun keputusan rasmi belum dibuat.
“Kita berada di peringkat akhir membuat keputusan dan insya-Allah minggu ini diumumkan siapa yang dipilih. Setakat ini kita ada dua calon akhir iaitu dari Brazil dan seorang lagi pemain yang bermain di liga Kuwait. Kedua-duanya bagus tetapi kita perlu pilih yang benar-benar sesuai untuk keperluan pasukan,” katanya ketika ditemui pada sesi dialog dan soal jawab bersama penyokong di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini.
Menurut Hishamuddin , keutamaan sememangnya diberikan kepada posisi pertahanan selepas beberapa aksi liga menyaksikan kelemahan ketara di bahagian tersebut yang perlu segera ditangani.
Kata beliau, pemilihan dibuat bukan hanya bersandarkan prestasi semasa malah turut mengambil kira faktor fizikal, keserasian dengan taktikal jurulatih serta kemampuan menyesuaikan diri dalam tekanan saingan Liga Super.
“Kita mahu pemain yang bukan sekadar bagus di atas kertas tetapi boleh menyumbang secara konsisten dan serasi dengan pasukan dalam masa yang singkat,” katanya..
Sementara itu, katanya, pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu TFC akan diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.-UTUSAN