KANGAR: Peniaga di negeri ini diingatkan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati atas alasan pelaksanaan peluasan kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Rohaida Hassan berkata, walaupun pada masa ini tiada peniaga di negeri ini yang melakukan kesalahan itu, pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengesan tindakan tersebut menerusi pelaksanaan Op Kesan 4.0.
Katanya, sehingga kini, sebanyak 27 premis melibatkan 119 Stock Keeping Unit (SKU) telah diperiksa oleh anggota penguatkuasa KPDN di sekitar negeri ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 27 Notis Pengesahan Maklumat Barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah diserahkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat lanjut dan masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui selepas Op Kesan 4.0 di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.
Rohaida berkata, pelaksanaan Op Kesan 4.0 bertujuan memantau dan mengekang aktiviti pencatutan oleh pihak tertentu yang didapati menaikkan harga secara berlebihan dengan tujuan untuk mengaut keuntungan.
Menurutnya, pemantauan turut dilakukan ke atas barangan keperluan asas yang tidak terlibat dengan semakar kadar SST seperti ayam standard, daging lembu tempatan (kecuali batang pinang), kubis bulat tempatan, tepung gandum NGP, sardin tin, krimer pekat manis dan roti putih.
“Tindakan susulan penguatkuasaan yang akan dilaksanakan itu juga adalah melibatkan penelitian empat elemen iaitu senarai barang dan bentuk perkhidmatan, senarai perniagaan dan syarikat berdaftar, tempoh pergerakan harga dan caj serta margin pergerakan pencatutan,” katanya. – UTUSAN