Ringgit mengukuh, kerajaan mahu rakyat terima manfaat

Ringgit mengukuh, kerajaan mahu rakyat terima manfaat

AMIR Hamzah Azizan (kanan) melambai tangan ketika menaiki bot untuk meninjau sekitar Sungai Betong dan pesisir Pantai Pasir Panjang semasa sesi turun padang di Kampung Angkat Madani Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Kementerian Kewangan sedang menjalankan analisis bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi memastikan pengukuhan nilai mata wang ringgit memberi manfaat langsung kepada rakyat khususnya dari segi harga barangan import.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengukuhan ringgit sejak awal tahun lalu memberi kesan positif kepada kos import negara, sekali gus berpotensi menurunkan harga barangan yang dibawa masuk ke Malaysia ketika ini.

“Kerajaan sedang menjalankan analisis bagi memastikan pengimport menyalurkan manfaat pengurangan kos tersebut kepada pengguna.

“Dalam hal ini, kerajaan akan terus memantau dan sekiranya terdapat peluang untuk menurunkan harga barangan import, langkah sewajarnya dapat diambil demi kepentingan rakyat,” katanya selepas sesi turun padang di Kampung Angkat Madani Pulau Betong di sini, hari ini.

Menurut beliau, setakat ini, ringgit menunjukkan peningkatan ketara berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta beberapa mata wang utama dunia lain dan membantu menstabilkan kos import secara keseluruhan.

“Setakat ini, nilai ringgit dianggarkan meningkat kira-kira 14 peratus berbanding dolar AS manakala berbanding mata wang utama dunia lain, peningkatan sekitar 6.5 hingga 7 peratus.

“Kerajaan melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif kerana kos barangan import boleh menjadi lebih rendah. Namun, kita mahu pastikan pengimport menyalurkan penjimatan kos itu kepada pengguna,” kata Amir Hamzah.

Mengulas mengenai prestasi ekonomi semasa pula, beliau berkata, data oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) serta penjelasan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan ekonomi negara kini berada pada kedudukan yang kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat iaitu antara tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Beliau berkata, prestasi ekonomi itu mencerminkan keberkesanan usaha kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi menyeluruh, termasuk sokongan perlindungan sosial dan intervensi bersasar dengan matlamat memastikan limpahan pertumbuhan dapat dirasai oleh rakyat pelbagai lapisan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN