KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menarik semula subsidi ke atas beberapa barangan keperluan asas tidak menyebabkan lonjakan harga di pasaran dan masih kekal stabil.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, ia berdasarkan hasil pelaksanaan pemantauan rantaian bekalan dan kawalan kos pengeluaran secara menyeluruh.
Beliau mengambil contoh bekalan seperti ayam yang ditarik subsidi, harga bekalan berkenaan masih lagi berada pada paras terkawal berikutan mekanisme diguna pakai kementerian bagi mengawal keadaan tersebut.
“Apabila kita menarik subsidi ayam pada 1 November 2023, sebelum itu kita ada masalah dengan harga ayam dimana kita ada harga kawalan dan kita ada subsidi, tapi kita sukar untuk mengawal harga ayam sehingga peniaga terpaksa mengenakan caj untuk potong ayam.
“Jadi apa yang kita lakukan sebagai satu strategi ialah kita membanteras kartel makanan ayam dimana 70 peratus kos pengeluaran ayam itu adalah daripada makanan ayam.
“Kita tarik subsidi tetapi kita kawal dia bekalan dan sepanjang rantaian itu. Kemudian kita teliti dan kita periksa harga ayam itu setiap hari, kita tengok pada hari ini harga ayam stabil dan ada yang rendah lagi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai mekanisme pemantauan yang digunakan Majlis Tindakan Sara Hidup negara (NACCOL) bagi memastikan semua intervensi kos sara hidup dapat memberi impak kepada pengguna.
Fuziah berkata, kementerian mewujudkan sistem pemantauan harga secara harian dan mengumpul data terus dari lapangan bagi memastikan tiada ketirisan dan kenaikan harga tidak munasabah.
“Kita bukan sekadar lihat harga di pasar, tapi kita pantau dari ladang sampai ke kedai. Kalau ada pihak cuba manipulasi harga atau sorok bekalan, tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya. – UTUSAN










