PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir Terbuka China selepas menewaskan gandingan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara 21-17, 21-13 hari ini.
Pasangan No. 3 dunia itu hanya mengambil masa 38 minit untuk menyingkirkan lawan ranking ke-99 dunia di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.
Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut Pearly-Thinaah ke atas gandingan Jepun itu selepas pertemuan sulung di separuh akhir Terbuka Thailand Mei lalu.
Kemenangan itu mengekalkan rentak positif mereka yang juga pilihan ketiga kejohanan bertaraf Super 1000 berkenaan.
Beregu negara itu bakal berdepan sama ada pasangan Indonesia, Febriana Kusuma-Amallia Pratiwi atau pilihan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pada aksi suku akhir esok.
Pearly-Thinaah memulakan musim ini dengan baik apabila muncul naib juara Terbuka Indonesia, Indonesia Masters dan Terbuka Jepun minggu lalu.
Mereka turut menjulang gelaran juara Terbuka Thailand yang menjadi satu-satunya kejuaraan dimenangi setakat ini pada musim 2025. – UTUSAN