KOTA BHARU: Krisis bahan bakar yang melanda beberapa kawasan sempadan Malaysia-Thailand dijangka memberi kesan ketara terhadap pendapatan ejen pelancongan tempatan, khususnya yang bergantung kepada pakej perjalanan darat ke negara jiran itu.
Pengendali pelancongan, Zulkifli Hashim berkata, jika situasi terus meruncing berkemungkinan besar pemain dalam sektor itu terpaksa mengurangkan kekerapan perjalanan atau menaikkan harga pakej.
Katanya, kekurangan bekalan bahan bakar di beberapa lokasi strategik menjejaskan kelancaran perjalanan bas pelancong dan kenderaan persendirian, selain menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelanggan.
“Ramai pelanggan mula berfikir dua kali untuk menempah pakej ke Thailand kerana bimbang perjalanan terganggu atau mengambil masa lebih lama daripada biasa.
“Sebagai pengendali, kami terpaksa menanggung kos tambahan termasuk merancang laluan alternatif dan memastikan kenderaan mempunyai bekalan bahan bakar mencukupi sebelum memulakan perjalanan,” kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Zulkifli berkata, buat masa ini pihaknya masih mengekalkan trip ke negara Gajah Putih itu pada 25 Mac selepas tempahan dibuat.
“Saya berharap pihak berkuasa Thailand dapat mengambil langkah segera bagi memastikan kestabilan bekalan bahan bakar di kawasan sempadan.
“Industri pelancongan sangat bergantung kepada kelancaran logistik. Jika isu ini berlarutan, bukan sahaja ejen pelancongan terjejas, malah peniaga kecil dan sektor perhotelan di kedua-dua negara turut menerima tempias,” ujarnya.
Dalam pada itu, krisis bahan api di Thailand tidak menjejaskan jualan insurans kenderaan Malaysia untuk masuk ke negara berkenaan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, premis jualan insurans kenderaan ke Thailand tetap dipenuhi pelanggan, sekali gus menunjukkan aliran keluar masuk masih rancak seperti biasa.
Seorang pekerja insurans, Salmah Ahmad, 33, berkata, permintaan terhadap polisi insurans tidak menunjukkan sebarang penurunan meskipun isu kekurangan bahan bakar dilaporkan berlaku di beberapa Wilayah Selatan Thailand ketika ini.
“Sepanjang seminggu kebelakangan ini, kami menerima banyak tempahan daripada orang ramai yang ingin pulang beraya di sana.

“Tiada pengurangan ketara kerana kebanyakan pelanggan minggu ini memang bertujuan pulang ke kampung sempena Aidilfitri,” katanya.
Salmah memberitahu, sebahagian besar pelanggannya mahu pulang menyambut Aidilfitri sekitar Pattani dan Narathiwat yang terletak berhampiran sempadan Malaysia.
“Dengan jarak yang dekat, kebanyakan mereka hanya memerlukan satu tangki penuh bahan api yang diisi di Malaysia untuk sampai ke destinasi,” katanya. – UTUSAN










