ARAU: Ribuan penduduk khususnya dari sekitar kawasan ini tidak melepaskan peluang mendapatkan daging tempatan pada harga serendah RM15 sekilogram menerusi program Jualan Rahmah UMNO Arau (Juara) yang berlangsung di pekarangan pejabat UMNO Bahagian, semalam.
Program yang masuk tahun kedua penganjurannya itu menyaksikan UMNO Bahagian Arau menumbangkan lapan ekor lembu iaitu kira-kira 2.4 tan metrik daging segar untuk dijual kepada orang ramai.
Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, harga daging yang ditawarkan kali ini lebih rendah berbanding RM18 sekilogram tahun lalu, sekali gus memberi penjimatan ketara kepada pembeli.
Katanya, selain jualan daging segar, pihaknya turut menyembelih empat ekor lembu lagi untuk dimasak gulai sebelum diagihkan kepada penduduk setempat dan golongan asnaf.
“Inisiatif tersebut bertujuan membantu rakyat khususnya golongan memerlukan mendapatkan bekalan makanan asas pada harga lebih mampu milik menjelang Aidilfitri.
“Kira-kira 2,400 orang mendapat manfaat melalui jualan daging murah ini dengan penjimatan lebih separuh daripada harga pasaran.
“Sambutan amat menggalakkan apabila orang ramai beratur panjang seawal pagi bagi mendapatkan kupon pembelian,” katanya ketika ditemui di sini.
Secara keseluruhan 12 ekor lembu disediakan bagi menjayakan program tersebut termasuk untuk agihan gulai daging.
Sementara itu juadah dimasak di lokasi program, diedarkan di bazar Ramadan dan beberapa lokasi lain memberi manfaat kepada kira-kira 4,200 penerima.
Ia diadakan bagi meringankan beban rakyat selain memeriahkan persiapan Aidilfitri dan akan diteruskan pada masa hadapan. – UTUSAN










