KOTA BHARU: Seorang wanita Kelantan atau Mek Kelate sanggup berbelanja lebih RM90,000 semata-mata untuk memiliki seutas rantai tangan emas bagi digayakan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif MZ Gold Sdn. Bhd., Murtadhatumizi Mustapha berkata, dia agak terkejut kerana jumlah itu sangat tinggi dalam keadaan harga emas yang tidak menentu ketika ini.
Katanya, pembelian luar biasa itu mencerminkan trend perbelanjaan pengguna terhadap logam itu masih lagi tinggi sekali gus menepis stigma ketakutan terhadap ketidaktentuan turun naik harga emas dunia dan menyokong kesedaran masyarakat mengenai kepentingan simpanan emas.
“Selain mampu tampil bergaya pada hari lebaran, saya melihat pembelian itu lebih kepada menjadikan perhiasan tersebut sebagai aset simpanan jangka masa panjang.
“Budaya membeli emas dalam kalangan Mek Kelate bukan perkara baharu, malah ia sudah sebati. Jadi tidak pelik, jika harga emas naik atau turun, terutama bila melibatkan ketidakstabilan geopolitik dunia, orang Kelantan tetap serbu premis bagi tujuan membeli dan menjual logam itu,” katanya.
Murtadhatumizi berkata, permintaan terhadap barang kemas kekal memberangsangkan sepanjang Ramadan apabila pihaknya merekodkan jualan sebanyak 19 kilogram emas.
Katanya, ia dibantu oleh jumlah diskaun sebanyak hampir RM18,000 serta pelbagai hadiah eksklusif yang diberikan kepada pelanggan setia selari dengan sambutan Bulan Emas Kelantan 2026 serta Program Jualan Mega.
“Kedua-dua program yang disokong oleh Tourism Kelantan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia ini banyak membantu meningkatkan jualan kami.” ujarnya.
Murtadhatumizi berkata, jualan itu merangkumi emas baharu, terpakai serta tempahan item perhiasan seni halus megikut cita rasa pelanggan. – UTUSAN










