KUALA LUMPUR: Projek perumahan Kota Madani di Putrajaya bukan projek bersifat kosmetik atau bermotifkan politik, sebaliknya merupakan inisiatif strategik kerajaan bagi menjamin kesejahteraan penjawat awam yang menjadi tunjang kepada pentadbiran negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, projek tersebut dirancang sebagai usaha menyelesaikan masalah kekurangan unit kuarters kerajaan di Putrajaya yang telah lama berlarutan.
Katanya, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 mengenai Pengurusan Pembangunan Putrajaya menunjukkan Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. (PJHSB) sepatutnya membina 35,000 unit kuarters kerajaan, namun sehingga kini hanya 22,452 unit disediakan manakala selebihnya belum dibangunkan.
“Rekod Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) setakat 15 Jun lalu pula menunjukkan seramai 17,366 penjawat awam sedang menunggu penempatan kuarters berbanding hanya 1,449 unit yang masih kosong.
“Bagi memenuhi keperluan ini, kerajaan merancang pembangunan Kota Madani melibatkan pembinaan 10,000 unit kuarters baharu yang akan memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 10,000 penjawat awam,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Dr. Alias Razak (PN–Kuala Nerus).
Dr. Zaliha berkata, projek itu dibangunkan di atas tanah seluas 102 ekar (41.27 hektar) di Presint 19 dan merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang pembangunan bandar yang dirancang sejak Putrajaya dibangunkan pada 1998.
“Kota Madani bukan hanya tentang penyediaan tempat tinggal, tetapi sebuah model pembangunan bandar mesra pejalan kaki, inklusif, berintegrasi, mampan serta berteraskan nilai kemanusiaan,” ujarnya.
Antara kemudahan awam yang dirancang termasuk sekolah, masjid, taska, gimnasium serta ruang komuniti yang saling berdekatan bagi menyokong gaya hidup sihat dan lestari.
“Kota Madani bukan projek mewah atau elitis, sebaliknya berasaskan keperluan sebenar rakyat khususnya penjawat awam yang telah lama menunggu kemudahan kediaman yang selesa dan berkualiti,” katanya. – UTUSAN










