PUTRAJAYA: Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) akan terus diperkukuh sebagai medan permuafakatan strategik demi kemaslahatan ummah dan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang memperingatkan tentang hikmah besar terkandung dalam Perlembagaan Madinah.
Katanya, baginda selaku Pengerusi MKI menitahkan hikmah Perlembagaan Madinah itu sebagai asas pembentukan negara yang adil, harmoni dan berpaksikan kedaulatan undang-undang.
“Titah Baginda agar kita kembali kepada semangat keikhlasan, kesederhanaan dan kesatuan ummah amat bertepatan dalam suasana tahun baharu Hijrah ini.
“Saya bersama barisan kepimpinan hal ehwal Islam seluruh negara menjunjung titah Baginda Tuanku dan insya-Allah akan terus memperkukuh MKI sebagai medan permuafakatan strategik demi kemaslahatan ummah dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Sultan Nazrin ketika mempengerusikan Mesyuarat MKI Ke-73 menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan semasa apabila kekuatan ummah semakin runtuh disebabkan perlakuan umat Islam dan orang Melayu yang saling membuka kelemahan serta mencemarkan imej sesama sendiri.
Baginda bertitah, pada ketika ini mereka semakin berlumba-lumba untuk mendedahkan kelemahan sesama sendiri, saling melukis
wajah siapa yang lebih hodoh, saling menepuk air di dulang untuk terpercik di muka sendiri.
Titah baginda, jika keadaan ini berlarutan, umat Islam dan orang Melayu tidak lagi memerlukan musuh dari luar untuk memusnahkan kesucian Islam dan mencemarkan maruah bangsa. – UTUSAN