Graduan perlu bijak urus kejayaan - Sultan Nazrin

Graduan perlu bijak urus kejayaan – Sultan Nazrin

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Graduan perlu bijak menguruskan kejayaan, kekal merendah diri dan berpegang pada nilai moral agar tidak tergelincir ketika menempuh cabaran apabila memasuki alam pekerjaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, cara mengurus setiap kejayaan akan menentukan sama ada graduan itu mampu mencapai puncak kecemerlangan atau berakhir dengan kekesalan yang tidak berpenghujung.

“Tersangatlah penting bagi anda memiliki kebijaksanaan mengurus kejayaan terutama yang datang secara mengejut.

“Berbahagialah kalangan mereka yang bijak menguruskan kejayaan telah dicapai, lalu dijadikan anak tangga untuk mendaki kejayaan lebih tinggi.

“Di sebaliknya amatlah malang, jika kejayaan yang telah dicapai termusnah, kerana kurang keupayaan mengurus kejayaan secara bijaksana,” titah baginda semasa pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-65, Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Sultan Nazrin yang juga Canselor UM mengingatkan para graduan agar tidak alpa  dengan kejayaan yang dikecapi.

Titahnya, graduan perlu melihat kejayaan sebagai pengembaraan berterusan dan bukan destinasi terakhir di mana setiap pencapaian memerlukan usaha konsisten, disiplin dan integriti.

“Anda bakal berhadapan ujian dan cabaran sebenar memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan. Jangan bersifat kacang lupakan kulit. 

“Jadilah insan yang mengamalkan resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Nilai yang dipegang akan berperanan sebagai kompas moral memandu anda menjadi aset atau liabiliti kepada negara,” titahnya.

Baginda bertitah, graduan perlu menjadi insan yang beradab, amanah, jujur, ikhlas dan berintegriti agar dapat mengangkat martabat diri serta nama baik keluarga. 

Para graduan turut dinasihatkan agar menghindarkan diri daripada terjebak dengan perbuatan yang boleh memusnahkan diri dan mengaibkan keluarga.

“Gunakan ilmu sebagai cahaya penyuluh memandu perjalanan hidup supaya terhindar daripada kegelapan. Gunakan kebijaksanaan untuk membina dunia yang lebih adil, damai, makmur dan berperikemanusiaan,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga universiti atas komitmen dan dedikasi yang diberikan sehingga berjaya meletakkan UM di kedudukan ke-58 dalam QS World University Rankings.

Konvokesyen kali ini melibatkan 22 sidang bagi meraikan 11,356 graduan terdiri daripada 686 graduan doktor falsafah, sarjana dan diploma pascasiswazah pendidikan (5,171), ijazah sarjana muda (4,127) serta diploma lanjutan, diploma eksekutif dan diploma (1,372).

Istiadat konvokesyen UM yang bermula hari ini sehingga 10 Disember turut mencatatkan jumlah graduan tertinggi dalam sejarah penubuhan institusi berkenaan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN