Jangan sewenang-wenang persoal perjanjian merdeka – Sultan Nazrin

Jangan sewenang-wenang persoal perjanjian merdeka – Sultan Nazrin

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meng­ingatkan bahawa perjanjian yang pernah dipersetujui ketika negara mencapai kemerdekaan tidak seharusnya dipersoalkan sewenang-wenangnya.

Baginda bertitah, tindakan demikian boleh menjejaskan sikap saling mempercayai serta menghormati antara satu sama lain selain diburukkan lagi oleh retorik politik yang mengeks­ploitasi isu kaum dan agama sehingga menyalakan api per­selisihan.

“Kemerdekaan tanah air di­peroleh secara perundingan dan diplomasi melalui kebijaksana­an dan sifat pragmatisme Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, seorang negarawan yang sangat menghargai sema­ngat perundingan dan membina kerjasama antara kaum.

“Beliau melaksanakan perundingan dengan berlapang dada dan bersangka baik demi membangunkan sebuah Persekutuan Tanah Melayu yang rak­yatnya terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

“Kesemuanya diberikan tempat serta jaminan perlindu­ngan yang saksama sebagai warga dalam sebuah negara merdeka. Tidak ada yang dipinggirkan, tidak ada penyisihan dilakukan,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447H peringkat negeri di sini, semalam.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Baginda bertitah, usaha perlu dipergiatkan untuk mengembalikan manhaj pembinaan negara bangsa berpandukan kepada kebijaksanaan dan semangat yang diasaskan Nabi Muhammad SAW.

“Warga Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

“Sikap bersederhana dan amalan bertoleransi dapat memberi peluang dan ruang kepada semua golongan untuk saling memahami dan menghormati di samping mengenali batas sempadan tidak mengusik perkara-perkara yang menyen­tuh sensitiviti agama dan ka­um,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, jarak yang terpisah antara tarikh negara mencapai kemerdekaan dengan tarikh kelahiran genera­si muda, menjauhkan mereka daripada memahami perit dan penderitaan penjajahan.

Baginda bertitah, keadaan itu turut menjauhkan generasi muda daripada menghayati erti dan semangat kemerdekaan untuk membentuk kesepaduan umat yang berbilang kaum dan berlainan agama.

“Salah satu nikmat kurniaan Ila­hi adalah menjadikan umat manusia berbagai bangsa agar saling berkenal dan beramah mesra.

“Kepelbagaian ini mengajak seluruh umat Islam berusaha memahami adat dan tradisi kaum lain dengan sifat penuh hormat dan menghargai yang terbit daripada nilai takwa dalam jiwa seorang mukmin,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan kebimbangan berkaitan penyebaran fitnah dan kebencian yang semakin menular khususnya dalam media sosial sehingga merancakkan perpecahan yang lebih getir.

Tegas baginda, tindak tanduk yang melampaui batasan ini diertikan apa sahaja perkataan dan perbuatan yang berlebihan dan keterlaluan.

Ujar baginda, sikap melampau itu boleh membawa kepada perpecahan apabila golongan yang miskin adab dan kedana adat mengetepikan nas-nas agama dan kehalusan budaya wari­san bangsa.

“Saban hari ummah disajikan dengan kata-kata menjelikkan, menghina, mempersenda dan membadutkan orang yang tidak bersefahaman dengan kumpulan tertentu.

“Keadaan ini menjelmakan budaya baharu yang sangat bercanggah dengan adab seorang Muslim dan berlawanan dengan adat Mela­yu. Hati yang tidak dijaga de­ngan ketakwaan menjadikan anggota mulut yang berkata-kata dan tangan yang menyentuh papan kekunci gajet, bebas mela­kukan apa sahaja,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN