PETALING JAYA: Pihak keselamatan digesa mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi menyiasat insiden pencerobohan seorang wanita ke pentas utama semasa Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, pagi tadi.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kejadian itu amat serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan Institusi Diraja yang menjadi tonggak kedaulatan negara serta payung kepada rakyat.
“Segala kelemahan dalam aspek kawalan keselamatan mestilah diperbaiki dengan kadar segera supaya kejadian serupa tidak berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut melahirkan rasa dukacita di atas kejadian itu yang berlaku ketika Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
“Semoga Seri Paduka Tuanku Sultan Perak, seisi keluarga serta seluruh Duli Raja-Raja Melayu sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan dikurniakan kesejahteraan berpanjangan,” katanya.
Terdahulu, Sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat negeri Perak hari ini kecoh apabila Sultan Nazrin Muizzuddin Shah cuba didekati oleh seorang individu yang tidak dikenali.
Kejadian pada pukul 8.20 pagi tersebut berlaku apabila seorang wanita berlari ke arah Sultan Nazrin di atas pentas utama sewaktu nyanyian lagu negeri Perak sedang dimainkan.
Wanita berkenaan berjaya ditahan oleh anggota pasukan keselamatan. – UTUSAN









