LONDON: Biarpun terkejut tersingkir seawal pusingan pertama Wimbledon, Daniil Medvedev menegaskan tiada sebab untuk panik dengan prestasinya setakat ini.
Pemain pilihan kesembilan dari Rusia itu tumpas 7-6 (7/2), 3-6, 7-6 (7/3), 6-2 kepada pemain ranking ke-64 dunia dari Perancis, Benjamin Bonzi, dalam pertarungan tiga jam tujuh minit di Gelanggang Dua
Medvedev sebelum ini mara ke separuh akhir dua tahun berturut-turut namun kali ini menjadi penampilan pertamanya di Wimbledon tanpa melepasi pusingan pembukaan.
“Saya datang ke sini dengan keyakinan tinggi selepas aksi di Halle. Saya menang semua set latihan, tapi itu tak menjamin kejayaan dalam perlawanan sebenar.
“Perlawanan pertama memang sentiasa sukar. Kalau ini pusingan kedua atau ketiga, mungkin saya boleh main lebih baik,” kata Medvedev.
Ini kekalahan awal ketiganya dalam kejohanan Grand Slam tahun ini selepas tersingkir di pusingan kedua Terbuka Australia dan pusingan pertama Terbuka Perancis.
Namun Medvedev yang juga finalis enam kali kejohanan utama tetap tenang dan percaya keputusan di Halle yang mana beliau mara ke final sekali gus menjadi bukti dirinya masih berada di landasan tepat.
“Kalau tak ada kejayaan di Halle, mungkin saya akan bimbang. Tapi sekarang tidak. Saya cuma perlu menang beberapa perlawanan untuk pulihkan keyakinan,” ujarnya.
Medvedev turut menyifatkan kekalahan yang dialami kebelakangan ini berpunca daripada keputusan tipis yang tidak memihak kepadanya.
“Saya rasa musim ini saya banyak kalah dalam perlawanan yang sengit. Tapi bila mula menang semula, saya akan naik semula ranking,” tambahnya. – AGENSI