DUBAI: Syarikat DP World berpangkalan di Dubai mengumumkan pelantikan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu semalam bagi menggantikan bekas ketuanya, Sultan Ahmed Sulayem selepas fail pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein mendedahkan komunikasi yang kerap antara mereka.
Kenyataan rasmi itu tidak menyebut nama Sultan Ahmed. Bagaimanapun, hubungan rapat beliau dengan Epstein terdedah dalam dokumen yang baru-baru ini dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman AS, di mana namanya disebut lebih 9,400 kali, sekali gus menarik perhatian media antarabangsa dan menimbulkan kecaman.
“DP World mengumumkan pelantikan Yang Mulia Essa Kazim sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan pelantikan Yuvraj Narayan sebagai CEO Kumpulan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh pejabat media Dubai.
DP World menurunkan biografi Sultan Ahmed daripada laman web mereka sejurus selepas kenyataan itu dikeluarkan.
Beliau yang digambarkan oleh Epstein sebagai salah seorang ‘sahabat paling dipercayainya’, sebelum ini memegang jawatan Pengerusi dan CEO DP World, salah satu pengendali pelabuhan terbesar di dunia.
Langkah menggantikannya dibuat susulan keputusan Rabu oleh institusi pelaburan kerajaan British, BII untuk menggantung pelaburan dengan DP World berikutan pendedahan tersebut.
“Kami terkejut dengan fakta yang timbul dalam fail Epstein mengenai Sultan Ahmed. Memandangkan tuduhan itu, kami tidak akan membuat pelaburan baharu dengan DP World sehingga syarikat mengambil tindakan yang diperlukan,” kata jurucakap BII.
BII merupakan pelabur DP World di empat pelabuhan di Afrika dan jurucakapnya memaklumkan syarikat itu mengalu-alukan keputusan terbaharu menggantikan Sultan Ahmed bagi meneruskan kerjasama.
Syarikat Kanada La Caisse sebelum ini turut menggantung hubungan dengan DP World, tetapi mengumumkan akan menyambung semula kerjasama selepas beliau diganti.
“Syarikat telah mengambil langkah-langkah perlu. Kami akan segera bekerjasama dengan kepimpinan baharu DP World untuk meneruskan projek pelabuhan di seluruh dunia,” kata dana persaraan Kanada itu kepada AFP.
Dokumen mendedahkan Epstein dan Sultan Ahmed mengekalkan komunikasi dari 2009 hingga 2018, bertukar mesej mengenai urusan peribadi, mesyuarat, pengenalan dan peluang perniagaan.
Ahli perniagaan UAE itu diperkenalkan oleh Epstein sebagai ‘orang kanan’ penguasa Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
Komunikasi itu menunjukkan beliau beberapa kali melawat pesalah seks itu di rumahnya, termasuk di pulau peribadi Epstein dan turut berkongsi maklumat peribadi yang intim.
Beliau menceritakan hubungan dengan seorang pelajar universiti di Dubai dan urusan seksual lain, termasuk urutan semasa lawatan ke Tokyo.
Pertukaran mesej mereka juga menunjukkan beliau pernah mengunjungi Israel beberapa tahun sebelum UAE menormalkan hubungan dengan negara itu, dan Epstein menghubungkannya dengan bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Barak.-AFP










