WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan akan menamatkan status perlindungan sementara untuk migran dari Yaman, yang telah diberikan selama kira-kira sedekad.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Kristi Noem berkata, Status Perlindungan Sementara (TPS) yang pertama kali diberikan kepada negara Asia Barat itu pada September 2015 akibat konflik bersenjata, akan ditamatkan dalam tempoh 60 hari.
Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha pentadbiran Presiden, Donald Trump untuk mengurangkan perlindungan TPS kepada beberapa negara membangun sejajar dengan dasarnya mengetatkan imigresen.
TPS membolehkan kumpulan tertentu warga asing yang berada di AS tinggal dan bekerja sementara di negara itu jika mereka dianggap berdepan bahaya sekiranya pulang, contohnya akibat perang, bencana alam atau keadaan luar biasa lain.
Keputusan penamatan itu dijangka menjejaskan lebih 1,400 warga Yemen yang sebelum ini diberi perlindungan daripada pengusiran dan permit kerja di bawah skim tersebut.
“Selepas menilai keadaan di negara itu dan berunding dengan agensi kerajaan AS yang berkaitan, saya memutuskan Yemen tidak lagi memenuhi keperluan undang-undang untuk ditetapkan di bawah TPS.
“Membenarkan penerima TPS Yemen terus tinggal sementara di AS adalah bertentangan dengan kepentingan nasional kami,” katanya, sambil menyifatkan penarikan balik itu sebagai tindakan ‘mengutamakan Amerika’.
Penerima TPS dari Yemen yang tidak mempunyai asas sah lain untuk tinggal di AS diberi 60 hari untuk meninggalkan negara itu secara sukarela atau berdepan penahanan termasuk menawarkan tiket penerbangan percuma serta ‘bonus keluar’ sebanyak AS$2,600 (RM10,158) kepada mereka.
Yemen, antara negara termiskin di dunia, dilanda perang saudara sejak 2014.
Jabatan Negara AS kini menasihatkan agar tidak melakukan perjalanan ke Yemen dengan memetik risiko keganasan, pergolakan, jenayah, risiko kesihatan, penculikan dan periuk api darat.
Sejak memegang jawatan tahun lalu, Trump berusaha menamatkan TPS untuk warga Haiti, Somalia, Honduras, Nicaragua, Nepal, Ethiopia dan Venezuela.-AFP










