ALOR SETAR: Tun Dr. Mahathir Mohamad menyarankan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri kerana mendakwa corak pentadbirannya yang sudah tidak disenangi dan disukai rakyat.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa lagi, Anwar tidak tahu memerintah negara melainkan hanya pandai berbuat janji yang tidak pun ditunaikan serta menambah cukai yang semakin membebankan rakyat.
Dr. Mahathir berkata, beliau sendiri membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dahulu kerana terdapat pihak yang tidak bersetuju dengannya.
“Bila rakyat tak suka, Perdana Menteri kena letak jawatan. Saya pun nak masuk bakul sikit angkat diri, saya pun letak jawatan juga pasal ada orang tak setuju dengan saya, bukan orang ramai tapi parti saja, saya tak setuju saya letak jawatan.
“Ini sampai rakyat minta ‘turun lah kamu’ tak turun juga masih duduk di situ. Saya nak seru supaya Anwar letak jawatan, dengar lah bila orang tegur letak jawatan kerana dia tak tahu perintah negara, macam-macam masalah,” katanya pada Himpunan Mandat Negarawan di sini, malam tadi.
Menurut Dr. Mahathir, menjatuhkan Perdana Menteri tidak hanya boleh dilakukan semasa pilihan raya sahaja sebaliknya memberi contoh tiga negara yang Perdana Menteri melepaskan jawatan masing-masing setelah didesak oleh rakyat kerana melakukan kesilapan.
“Contoh di United Kingdom, Boris Johnson masa darurat dia ada tea party. Orang marah dia dan letak jawatan, jadi Perdana Menteri kena sensitif terhadap perasaan rakyat, masa rakyat susah jangan adakan tea party.
“Di Bangladesh apabila ramai rakyat berhimpun desak Perdana Menteri letak jawatan, Sheikh Hasina pun lari ke India, dia pun letak jawatan. Malah di Jepun buat silap sikit saja kena berhenti, ramai Perdana Menteri Jepun letak jawatan tidak tunggu pilihan raya,” katanya.
Ujar Dr. Mahathir, beliau hanya mahu memberi penjelasan agar rakyat khususnya orang Melayu sedar dengan kepimpinan yang ada ketika ini kerana ramai orang yang miskin walaupun negara mempunyai sumber kekayaan untuk mengatasi kemiskinan.
Beliau berkata, tujuan membuat desakan agar Anwar meletak jawatan bukan untuknya menjadi Perdana Menteri sekali lagi tetapi sekadar memberi nasihat berbekalkan pengalaman 24 tahun sebagai Perdana Menteri dan 80 tahun dalam arena politik. – UTUSAN