PETALING JAYA: Seramai tujuh setiausaha politik baharu mengangkat sumpah dan menandatangani aku janji simpan rahsia dalam satu majlis rasmi di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lalu.
Majlis itu turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Pelantikan itu melibatkan Setiausaha Politik kepada Menteri Perladangan dan Komoditi, Norashekin Yusof; Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Willy Leong@Rafiqi Helmy serta Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Aizuddin Abd. Gaffal.
Turut mengangkat sumpah Setiausaha Politik kepada Menteri Ekonomi, Mohd. Hafiz Mohamad; Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Ahmad Nazib Johari; Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd. Kamarul Arifin Mohd. Wafa dan Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan, Mohammad Afiq Hazwan Samsudin.
Difahamkan, pelantikan bertujuan memperkukuh jentera pentadbiran dan menyokong pelaksanaan agenda kerajaan di kementerian masing-masing.
Ia turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan sokongan politik yang berkesan, profesional dan berintegriti bagi memperkukuh tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Kerajaan juga yakin kesemua setiausaha politik yang dilantik akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, integriti selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. – UTUSAN










