Lesen jurulatih berbasikal digantung serta merta

Lesen jurulatih berbasikal digantung serta merta

BEKAS pelumba berbasikal kebangsaaan, Nor Effandy Rosli, 58, ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Ampang hari ini bagi menghadapi satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatihnya yang merupakan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, di sebuah stor simpanan basikal, tahun lalu, di Mahkamah Sesyen Ampang, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menggantung lesen jurulatih bekas atlet berbasikal negara berkuatkuasa serta-merta kerana dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelatih wanita.

Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, lesen jurulatih itu digantung sehingga tempoh perbicaraan tertuduh tamat dan tindakan selanjutnya di peringkat badan induk itu akan berpandukan kepada keputusan mahkamah. 

“Dalam hal ini, saya ingin memberi jaminan kepada semua pihak bahawa PKBM tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pemegang lesen yang didapati melanggar peruntukan perundangan negara, Kod Sukan Selamat dan Kod Etika UCI, lebih-lebih lagi yang melibatkan atlet atau pelatih bawah umur.

“PKBM akan sentiasa memantau kes demi kepentingan semua pihak khususnya pelumba wanita itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Amarjit berkata, ketika kesalahan tersebut dilakukan, tertuduh bukan jurulatih skuad kebangsaan atau mana-mana pasukan negeri sebaliknya dia hanya membimbing kelabnya sendiri.

“PKBM juga mengambil pendekatan untuk mengimbangi keperluan untuk melindungi pelatih-pelatih lain yang berada di bawah seliaan tertuduh melalui penggantungan lesen jurulatih itu,” katanya.

Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) turut memberi peringatan kepada individu yang terlibat dalam sukan berbasikal untuk sentiasa memelihara dan memastikan satu persekitaran selamat.

“Apa-apa perbuatan yang dianggap sebagai salah laku di bawah peruntukan Kod Sukan Selamat perlu dilaporkan dengan segera kepada PKBM atau pihak berkuasai seperti polis jika disyaki terdapat unsur jenayah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN