Leftenan ATM: Individu sentuh isu perkauman disiasat

Leftenan ATM: Individu sentuh isu perkauman disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan dan merakam keterangan seorang individu susulan kandungan jelik bersifat perkauman yang dimuat naik dalam platform media sosial miliknya, minggu lalu.

MCMC berkata, kandungan tersebut dipercayai menyentuh pelantikan Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baharu, Datuk Johnny Lim Eng Seng dengan naratif perkauman yang berpotensi mencetus provokasi serta menggugat perpaduan dan keharmonian negara.

Susulan itu, katanya, individu tersebut telah dipanggil bagi memberikan keterangan dan membantu siasatan. 

“MCMC turut menyita sebuah telefon bimbit dan seunit kad SIM untuk melengkapkan siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

MCMC ingin mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan sebarang kandungan menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja terutamanya boleh memecahbelahkan masyarakat serta menggugat keharmonian negara.

MCMC kekal komited untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, sejahtera dan dihormati, selaras usaha memperkukuh perpaduan nasional dan keharmonian antara rakyat pelbagai kaum di negara ini. 

Minggu lalu, ATM mengumumkan pelantikan Johnny Lim yang disifatkan sebagai melakar sejarah kerana beliau merupakan pegawai kanan berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat ke jawatan tertinggi itu.

Ekoran itu, seorang pemimpin parti politik membuat hantaran di media sosial kelmarin yang seolah-olah mempertikai pelantikan tersebut dengan mengaitkan tidak mustahil pada masa akan datang Malaysia akan menerima Perdana Menteri berbangsa Cina yang pertama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN