PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited memperluas tanaman nanas sebagai usaha membangunkan ekonomi masyarakat luar bandar khususnya di kawasan pedalaman Sabah yang bergantung kepada sumber pertanian.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, antara tumpuan utama kementerian adalah memperkenalkan tanaman bernilai tinggi seperti nanas MD2 sebagai alternatif kepada tanaman sedia ada yang kurang sesuai di sesetengah kawasan.
Katanya, inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sook dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
“Walaupun projek asal SLDB adalah tanaman sawit, namun bukan semua kawasan sesuai untuk tanaman itu. Saya menyokong usaha SLDB mengoptimumkan tanah dengan tanaman berpotensi tinggi seperti nanas yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat.
“Saya sedang merancang supaya LPNM dan Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia dapat mewujudkan industri nanas di Sook sebagai satu sumber ekonomi baharu bagi daerah pedalaman Sabah. Tanaman ini mempunyai potensi besar dari segi pasaran dan pemprosesan produk hiliran selain sesuai ditanam di kawasan ini,” katanya.
Melalui kerjasama strategik itu, KPKM telah menyalurkan sebanyak RM1 juta kepada SLDB di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah dengan kerjasama kerajaan negeri bagi memulakan Projek Tanaman Nanas MD2.
Katanya, fasa pertama projek tersebut melibatkan keluasan enam hektar dengan penanaman 250,000 sulur nanas yang akan memberi manfaat kepada 695 peserta dan mereka dijangka menikmati hasil tuaian pertama dalam tempoh 12 hingga 15 bulan.
“LPNM turut dilibatkan dalam pelaksanaan projek ini bagi meneroka potensi kerjasama dan membangunkan industri nanas secara menyeluruh di kawasan berkenaan.
“Pelaksanaan projek ini bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan pengeluaran nanas negara, malah membuka peluang pekerjaan, menjana pendapatan pekebun tempatan serta merangsang pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.
Terdahulu, Arthur turut merasmikan Taklimat Asas Penanaman Nanas kepada komuniti Kampung Sakikilo, Sook yang dianjurkan oleh PPK Sook dengan penglibatan 42 keluarga dalam projek tanaman nanas secara berkelompok.
Pada majlis tersebut, sebanyak 5,000 sulur nanas, lebih 300 kilogram baja dan sebuah mesin mini tiller telah diserahkan kepada komuniti sebagai permulaan projek.
LPNM akan terus memberikan khidmat kepakaran serta memantau perkembangan projek bersama PPK Sook demi memastikan kejayaan inisiatif itu. – UTUSAN