BANGI: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40,907,300 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di peringkat Persekutuan dan negeri bagi pengurusan bencana pada tahun ini termasuk bagi penyediaan barangan keperluan asas kepada mangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan mengakui jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung keperluan ‘ad hoc’ sekiranya berlaku bencana besar luar jangkaan.
“Saya akui jumlah ini tidak dapat menampung keperluan adhoc apabila skala bencana yang berlaku lebih besar dari jangkaan.
“Justeru, kerjasama dan sumbangan daripada rakan strategik amat diperlukan bagi memastikan semua mangsa mendapat bantuan sewajarnya tanpa ada yang tercicir,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam Majlis Apresiasi Rakan Strategik Pengurusan Bencana JKM di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pengurusan Bencana Negara berkata, pengurusan bencana bukan sahaja memerlukan tindakan pantas dan penyelarasan cekap oleh agensi kerajaan, malah bergantung kepada solidariti merentas sektor termasuk pelbagai agensi penyelamat, komuniti dan sektor swasta.
Katanya, setakat ini, JKM bertanggungjawab mengurus 8,417 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang telah menampung sehingga 2.18 juta mangsa bencana.
“Sepanjang Monsun Timur Laut 2024/2025, JKM telah mengaktifkan 1,612 PPS yang memberi perlindungan sementara kepada 343,248 mangsa daripada 101,540 keluarga di 12 buah negeri.
“Ini bukan sekadar angka. Ini adalah nyawa yang berjaya kita selamatkan,” katanya.
Katanya, kejayaan pengurusan bencana di Malaysia adalah hasil gandingan kukuh antara agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sokongan berterusan rakan strategik JKM, termasuk badan korporat dan sukarelawan.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus memainkan peranan masing-masing secara kolektif dan berterusan agar tiada mangsa yang terpinggir tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.
“Bayangkan betapa luar biasanya komitmen mereka. Inilah bukti bahawa semangat khidmat dan kesiapsiagaan sentiasa menjadi keutamaan.
“Inilah Malaysia yang kita impikan kerana susah senang kita tempuhi bersama demi rakyat yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN