PERTAMA hargai ahli senior sempena ulang tahun ke-55

PERTAMA hargai ahli senior sempena ulang tahun ke-55

NORAINI Ahmad sewaktu berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-55 PERTAMA di ibu negara, hari ini.- UTUSAN/HALINA MD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) menghargai jasa dan sumbangan 13 ahlinya yang berusia lebih 70 tahun tetapi masih aktif, sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-55 persatuan itu di sini hari ini.

Penghargaan tersebut diberikan kepada tokoh-tokoh wartawan wanita yang banyak mencorakkan dunia kewartawanan penyiaran dan cetak tanah air, antaranya penulis lirik dan skrip terkenal, Datuk Habsah Hassan; DJ, penerbit serta wartawan Bahagian Pembangunan dan Pertanian Radio, Norela Samad; Editor dan Ketua Penerbitan Bahasa Malaysia Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Datuk Jamelah A. Bakar serta juruhebah Radio Singapura dan RTM Kuala Lumpur, Rukiah Ramlan.

Presiden PERTAMA, Datuk Sariha Mohd. Ali berkata, persatuan itu sentiasa menyanjung tinggi komitmen dan dedikasi ahli-ahli senior yang menjadi tunjang kepada kesinambungan serta legasi PERTAMA sejak penubuhannya.

Menurut beliau, meskipun telah berusia, masih terdapat ahli yang setia menyertai setiap program dan aktiviti persatuan serta terus menyumbang idea dan tenaga demi memperkasa PERTAMA.

“Mereka bukan sekadar saksi sejarah, malah menjadi tulang belakang dan sumber inspirasi kepada generasi wartawan wanita masa kini,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Cenderahati disampaikan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Sementara itu, Datuk Habsah Hassan menyifatkan penghargaan itu sebagai satu pengiktirafan bermakna kepada ahli-ahli lama yang pernah aktif memperjuangkan isu kenegaraan dan hak wanita melalui PERTAMA.

Beliau turut menyatakan rasa bangga melihat PERTAMA terus ‘bernafas’ dengan baik walaupun telah menjangkau usia 55 tahun, selain dipimpin oleh barisan kepimpinan muda.

Beliau yang juga bekas Ahli Jawatankuasa PERTAMA di bawah kepimpinan pengasasnya, Azah Aziz atau Mak Ungku, turut menggesa wartawan muda menyertai PERTAMA bagi menyumbang idea serta mengaktifkan lagi gerak kerja persatuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN