PETALING JAYA: Kerajaan terus berikhtiar dengan sedaya upaya dan kapasiti yang ada untuk memartabatkan kedudukan Islam di negara ini dalam kerangka Perlembagaan dan semangat Malaysia Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menjadi medan penting antara institusi Raja dan kerajaan dalam menyelaras hal ehwal Islam di negara ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MKI berkata, mesyuarat itu juga penting khususnya dalam memperkasa pembangunan insan berteraskan ihsan, adab, dan ilmu demi menjulang Karamah Insaniah.
“Insya-Allah, Kerajaan Malaysia akan terus berikhtiar dengan sedaya upaya dan kapasiti yang ada akan memartabatkan kedudukan Islam dalam kerangka Perlembagaan dan semangat Malaysia Madani,” katanya dalam satu hantaran Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri MKI ke-73 yang dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini.
Anwar berkata, keprihatinan Sultan Nazrin Shah terhadap hal ehwal Islam di Malaysia terserlah menerusi titah Baginda yang menekankan falsafah perpaduan.
“Keprihatinan Tuanku mengenai hal ehwal Islam di Malaysia terpancar melalui titah Tuanku mengenai falsafah perpaduan yang digambarkan melalui perbilangan adat perpatih yang diadaptasi oleh orang Melayu dalam mempertahankan kesucian agama dan maruah bangsa, berupaya untuk menyebarkan syiar Islam dan mengangkat martabat bangsa amat kami hargai,” katanya. – UTUSAN