PETALING JAYA: Pakistan dan Afghanistan perlu segera menggunakan meja rundingan bagi mencari titik penyelesaian terhadap konflik yang semakin memuncak antara kedua-dua negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu menyaksikan operasi ketenteraan rentas sempadan serta pengisytiharan konflik terbuka antara dua negara jiran yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam.
Lebih mendukacitakan, kata Anwar, korban yang berlaku di kedua-dua pihak akibat ketegangan tersebut menjadi lebih memilukan kerana ia terjadi dalam bulan Ramadan.
“Malaysia menyeru kedua-dua pihak supaya menghentikan serta-merta semua operasi ketenteraan.
“Kebimbangan keselamatan yang sah di pihak Pakistan perlu ditangani. Pada masa sama, kedaulatan dan integriti wilayah Afghanistan mesti dihormati. Kedua-dua prinsip ini tidak bercanggah dan hanya boleh diselaraskan melalui meja rundingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata, Malaysia menyeru Pakistan dan Afghanistan supaya menghentikan segera semua operasi ketenteraan.
Menurut beliau, kedua-dua prinsip tersebut tidak bercanggah dan hanya boleh diselaraskan melalui meja rundingan.
“Kami mendoakan keselamatan semua orang awam yang terperangkap dalam konflik ini serta agar para pemimpin di kedua-dua pihak diberi kebijaksanaan untuk memilih jalan damai,” katanya. – UTUSAN










