Jho Low dikesan di China, Malaysia belum terima maklumat rasmi - PM

Jho Low dikesan di China, Malaysia belum terima maklumat rasmi – PM

JHO LOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung laporan media antarabangsa yang mendakwa dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low, telah berjaya dikesan di China.

Menurut Anwar, beliau perlu menyemak perkara itu terlebih dahulu dengan pihak Menteri Dalam Negeri bagi mendapatkan pengesahan lanjut.

“Saya tidak dapat maklumat. Kita belum dapat apa-apa maklumat. Bagi saya semak dahulu, saya dah baca (laporan berita). Tapi, saya kena semak dengan Menteri KDN,” katanya selepas menghadiri majlis pecah tanah Kompleks Madani Teluk Kumbar di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan yang mendakwa Jho Low yang dikehendaki dalam kes penyelewengan dana berbilion ringgit itu dipercayai menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, China dengan menggunakan pasport Australia palsu.

Pendedahan itu dibuat dua wartawan penyiasatan yang terkenal kerana membongkar skandal kewangan terbesar dunia 1MDB, Bradley Hope dan Tom Wright dalam episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright, pada Jumaat.

Dalam pendedahan itu, Jho Low kini dilaporkan menetap di kawasan eksklusif Green Hills selain memandu sebuah kereta mewah.

Bahkan, melalui penyiasatan dilakukan dua wartawan antarabangsa itu juga, Jho Low didakwa beroperasi dari pejabatnya di Pusat Kewangan Shanghai, meskipun Malaysia masih giat menuntut proses ekstradisinya.

Lebih mengejutkan, laporan tersebut turut mendedahkan bahawa Jho Low kini berperanan sebagai penasihat strategik kepada kerajaan China.

Skandal kewangan 1MDB yang terbesar dalam sejarah negara yang mana Jho Low merupakan dalang utama mengejutkan dunia berikutan penyelewengan sebanyak AS$7.65 bilion (RM35 bilion).

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak AS$2.5 bilion (RM11.4 bilion) didakwa dimasukkan ke akaun peribadi Jho Low, sementara AS$6 bilion lagi (RM27.3 bilion) dikaitkan dengan urusan perniagaan bersama syarikat China dalam usaha menutup jejak penyelewengan.

Dianggarkan keseluruhan kerugian kepada Malaysia mencecah AS$18 bilion (lebih RM82 bilion) termasuk kos penutupan skandal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN