PETALING JAYA: Aksi persahabatan pra-musim antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab Liga Kejuaraan England, Cardiff City, berakhir dengan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan sengit yang berlangsung di Sepanyol, semalam.
Skuad Harimau Selatan, yang turun dengan kesebelasan terbaik diketuai Natxo Insa, menampilkan aksi berdisiplin meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Moussa Sidibe dibuang padang pada penghujung babak pertama.
Cardiff pula menurunkan barisan utama diketuai bekas pemain Arsenal, Calum Chambers, di benteng pertahanan.
Kedua-dua pasukan saling mengasak sejak awal permainan, namun peluang terbaik JDT menerusi Joao Figueiredo dinafikan penjaga gol lawan, Ethan Horvath.
Sebaliknya, Cardiff hampir membuka tirai jaringan menerusi Ollie Tanner namun rembatan derasnya tersasar sedikit dari gawang JDT yang dikawal Andoni Zubiaurre.
Memasuki separuh masa kedua, David Turnbull meletakkan Cardiff di hadapan pada minit ke-48 menerusi rembatan kencang dari dalam kotak penalti namun JDT bangkit menyamakan kedudukan menerusi Jairo Da Silva.
Cardiff kembali mendahului hasil sepakan percuma Robin Colwill, namun selepas itu mereka terpaksa bermain 10 pemain selepas pemain gantian mereka, Yousef Salech, dilayangkan kad merah kerana terjahan kasar ke atas pemain JDT pada minit ke-83.
Detik dramatik hadir di hujung perlawanan apabila Oscar Arribas memanfaatkan kesilapan pertahanan dan penjaga gol Cardiff untuk menyumbat gol penyamaan, sekali gus memastikan JDT kekal tanpa kalah dalam tiga aksi pra-musim mereka di Sepanyol.-UTUSAN