SOALAN ini sebenarnya menjadi perdebatan di media sosial sehingga Poklip terdetik sama memikirkan, siapa sebenarnya yang ketika ini dilihat layak atau mungkin boleh menjadi lebih besar daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Besar bukan sahaja dari segi pencapaian dan penganugerah dalam serta luar negara. Besar juga merangkumi bagaimana kasihnya rakyat Malaysia berbilang kaum terhadap insan yang bernama Siti Nurhaliza itu. Tanyalah mana-mana rakyat Malaysia, tua atau muda, tidak kira Cina, India atau
kaum lain, pasti mereka mengenal (walau mungkin tidak tahu lagu) sosok penting sejarah industri seni tempatan itu.
Tidak perlu Poklip huraikan satu persatu kehebatan penyanyi nombor satu negara itu. Rasanya sudah terlalu banyak artikel atau carian di laman sesawang yang boleh menjawab satu persatu soalan. Malah, Poklip juga yakin, tidak ada siapa yang boleh menafikan kejayaan dan pencapaian Siti Nurhaliza walaupun mungkin dalam hati ada segelintir mengatakan tidak. Soal minat atau tidak,terpulang kepada pilihan sendiri.
Tetapi soalan serius, siapa selepas Siti Nurhaliza? Sekiranya dia memilih untuk mengundurkan diri, siapa
selayaknya bergelar penyanyi nombor satu negara? Siapa penerima seterusnya penganugerah tertinggi dalam bidang seni? Ada ramai yang menyebut Aina Abdul dan Ernie Zakri. Setahu Poklip, perjalanan
karier muzik mereka sebenarnya ada persamaan. Segala jerih perih yang dilalui mewujudkan kejayaan di masa ini.
Kalau melihat dari sudut pencapaian, keduanya juga boleh dikatakan setara. Masing-masing sudah menempatkan nama dalam pelbagai anugerah muzik tempatan. Malah, ada di luar negara juga.
Sebagai contoh, Ernie berjaya merangkul trofi pemenang Soundtrack Sinetron Paling Ngetop di Anugerah SCTV tahun lalu. Bukan calang-calang lagu yang boleh menang anugerah yang cukup keren itu.
Keduanya juga dilihat rancak berkolaborasi dengan komposer dan artis negara republik tersebut. Malah,
kelompok peminat yang membentuk kelab juga tidak main-main. Itu kunci kejayaan mereka. Tetapi adakah kedua-duanya sudah dilihat layak atau menghampiri kejayaan Siti Nurhaliza? Poklip rasa belum
tetapi menuju ke arah sama itu.
Ya keduanya masih berhempas pulas dan melawan arus.
Itu sesuatu yang harus dibanggakan, kerana Poklip tahu, dalam hati mereka bukan soal siapa ganti Siti Nurhaliza, mereka hanya mahu menjadi ‘Siti Nurhaliza’ di mata peminat-peminat mereka? Faham bukan maksud Poklip?
Tetapi ada pendapat mengatakan, jika diukur dari sudut kejayaan, masih belum ada satu nama yang setanding Siti Nurhaliza. Dari segi vokal, mungkin ramai yang lebih baik tetapi bukan jiwa, aura
dan pakej lengkap seperti penyanyi itu.
Nama Shila Amzah juga menjadi sebutan tetapi tetap ada yang berpendapat, perjalanan dia juga masih jauh. Namun, kejayaan Shila di pelbagai anugerah tempatan, berjaya menembus pasaran luar
negara- China tidak seharusnya diketepikan.
Tetapi mereka adalah pelapis yang mampu (jika diizinkan dan ada rezeki-Nya) menjadi Biduanita Negara
yang seterusnya. Begitu juga dengan Dayang Nurfaizah, Nadeera dan ramai lagi penyanyi. Bukan niat Poklip untuk menjadikan ‘Siti Nurhaliza’ sebagai satu pertandingan atau ukuran, tetapi tidak kira siapa pun anda, jika anda meminati dunia seni tanah air, itu mungkin soalan yang berlegar
sama dalam fikiran.
Sama seperti, selepas Tan Sri Michelle Yeoh, siapa pula anak Malaysia yang mampu mencipta nama di pentas Oscar? Satu hari nanti, Poklip percaya nama anak kelahiran Malaysia akan bergema
dengan lebih kuat.