AKPS rampas beras bernilai lebih RM600,000 diseludup

AKPS rampas beras bernilai lebih RM600,000 diseludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mematahkan cubaan menyeludup 99,900 kilogram (kg) beras di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini semalam.

Dalam pemeriksaan kira-kira pukul 4 petang, AKPS menahan dua buah kontena yang dipercayai membawa masuk beras ke negara ini tanpa sebarang pengisytiharan.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, kesemua beras yang masing-masing dibawa sebanyak 49,950kg bagi setiap kontena bernilai RM639,400 mengikut harga pasaran tempatan.

“Pemeriksaan dibuat hasil maklumat risikan yang kita diterima di mana terdapat cubaan membawa masuk beras tanpa membuat pengisytiharan atau ikrar Kastam melalui dua buah kontena dengan tujuan mengaburi pihak berkuasa di pintu masuk negara.

“Kes ini telah diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Negeri Kedah untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Nasaruddin berkata, jumlah keseluruhan rampasan adalah RM1.06 juta termasuk dua buah kenderaan berat itu yang bernilai RM420,000.

Menurut beliau, maklumat berkaitan agen atau syarikat terlibat dalam kegiatan itu juga masih dalam siasatan oleh pihak KPB Negeri Kedah.

“Buat masa ini, kesemua beras terbabit telah dirampas, manakala dua kontena bersama trailer tersebut turut disita bagi tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambahnya, rampasan membuktikan komitmen dan kesungguhan AKPS bersama agensi penguatkuasaan berkaitan dalam membanteras cubaan penyeludupan barangan kawalan melalui pintu masuk negara.

“Tindakan tegas dan berterusan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memperdaya sistem dan agensi penguatkuasaan demi kepentingan peribadi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN