KUALA LUMPUR: Hasil penjimatan diraih kerajaan susulan pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95), kemajuan ekonomi Pantai Timur dan kadar gaji tenaga kerja tempatan antara isu yang bakal dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) meminta Menteri Kewangan mengemukakan jumlah penjimatan dicapai melalui pelaksanaan BUDI95 sepanjang tahun lalu serta unjuran penjimatan bagi tahun ini pada sesi soal jawab.
Beliau juga ingin mengetahui bagaimana penjimatan tersebut dimanfaatkan dalam usaha meringankan kos sara hidup rakyat serta memperkukuh bantuan bersasar kepada golongan B40 dan M40.
Pada sesi sama, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) bertanya kepada Menteri Ekonomi mengenai perancangan kerajaan dalam memastikan kemajuan ekonomi rakyat serta negeri di Pantai Timur terus dipertingkat bagi mengimbangi kepesatan pembangunan di Pantai Barat.
Sementara itu, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) meminta Menteri Sumber Manusia memperincikan strategi kementerian dalam memperkukuh kerjasama dengan institusi latihan dan sektor swasta bagi memastikan kenaikan gaji seiring peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan.
Mesyuarat diteruskan dengan sesi bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 oleh Menteri Kewangan dan RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.-UTUSAN










