PETALING JAYA: Selepas Malaysia kini Indonesia pula berkata mereka akan memantau perkembangan terkini terhadap pergolakan yang berlaku di sempatan Thailand dan Kemboja menjelang Sukan SEA 2025.
Menurut laporan portal Indonesia, ANTARA News, Menteri Belia dan Sukan negara itu, Dito Ariotedjo berkata, kementeriannya sedang memantau dengan teliti konflik antara kedua-dua negara itu.
“Sudah tentu, kami di Kementerian Belia dan Sukan, bersama Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Indonesia, terus memantau perkembangan terkini (dalam konflik Thailand-Kemboja) bagi (keputusan berkaitan) Sukan SEA,” katanya.
Portal tersebut turut memaklumkan sehingga kini Indonesia masih belum membuat keputusan muktamad mengenai penyertaan mereka dalam temasya sukan tersebut.
Bagaimanapun, Ariotedjo mengesahkan bahawa persiapan untuk Sukan SEA 2025 Thailand tetap diteruskan apabila atlet-atlet utama daripada pelbagai disiplin sukan sedang mengikuti kem latihan kebangsaan Indonesia.
“Secara prinsip, kami dari Indonesia sedang mempersiapkan atlet terbaik untuk bersedia bertanding,” katanya.
Selepas lima hari pertempuran sengit, pemimpin Kemboja dan Thailand bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata kelmarin, dalam usaha menamatkan konflik kedua-dua negara itu. – UTUSAN