LONDON: Era gemilang Christian Horner bersama Red Bull berakhir secara mengejut selepas beliau dipecat serta-merta daripada jawatan Prinsipal Pasukan, kelmarin.
Pengumuman itu mengejutkan dunia Formula Satu (F1) memandangkan Horner merupakan prinsipal pasukan paling lama berkhidmat sejak Red Bull menyertai perlumbaan pada musim 2005.
Sepanjang 20 tahun di pucuk pimpinan, Horner mengetuai Red Bull meraih 124 kemenangan perlumbaan, 107 petak utama, 287 podium serta enam kejuaraan pengeluar dan lapan gelaran pemandu dunia.
Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagram beberapa jam selepas pemecatannya, Horner mengakui berat untuk berpisah dengan pasukan yang dibina sejak awal.
“Selepas perjalanan luar biasa selama 20 tahun, dengan hati yang berat saya mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan yang saya sangat cintai.
“Setiap daripada anda di kilang adalah nadi kejayaan ini. Menang atau kalah, kita tetap bersama dan saya tidak akan melupakannya,” kata Horner.
Horner turut menzahirkan penghargaan kepada para rakan kongsi, peminat, serta pencabar yang dianggap memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan Red Bull di persada sukan bermotor dunia.
Tempatnya kini diambil alih Laurent Mekies selaku Prinsipal dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Red Bull, manakala Alan Permane pula menyertai Racing Bulls menggantikan Mekies. – AGENSI