KUALA LUMPUR: Kawasan Bukit Bintang di ibu negara dihiasi pemandangan penuh memukau malam ini bersempena majlis pelancaran ‘I LITE U’ yang berlangsung di hadapan Pavilion Kuala Lumpur.
Majlis itu bersempena Peluncuran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar bertemakan Infrastruktur Lampu Inovasi Teknologi Eko-Mampan Ke Arah Urbanisasi (I Lite U).
Sambutan penuh warna-warni itu turut menandakan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta diserikan dengan kehadiran pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh anggun berbusana kuning.
Program peringkat kebangsaan itu diterajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mencerminkan perpaduan dan aspirasi bersama Malaysia Madani.
Ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa hadir ke malam penuh gilang-gemilang seiring usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama menjelang TMM 2026.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, infrastruktur pencahayaan moden ini bukan sahaja meningkatkan nilai estetika bandar, malah memperkukuh aspek keselamatan awam, keselesaan pejalan kaki dan merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.
“Kerajaan turut menyasarkan agar model “I LITE U” diperluaskan ke bandar-bandar utama lain seperti Ipoh, George Town, Melaka dan Johor Bahru bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih mesra, selamat dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, pemilihan Bukit Bintang sebagai lokasi perintis adalah tepat kerana ia merupakan nadi pelancongan, budaya dan ekonomi Kuala Lumpur.
Jelasnya, projek ini merangkumi empat komponen utama iaitu Pintu Gerbang (Gateway Lighting) sebagai mercu tanda ikonik, Arca Tahun Melawat Malaysia 2026, serta penaiktarafan lintasan pejalan kaki sedia ada dan baharu dengan pencahayaan yang lebih terang, selamat dan mesra pengguna.
“I LITE U membezakan Kuala Lumpur daripada bandar global lain melalui pencahayaan bandar yang ikonik selaras
dengan SDG11 – Sustainable Cities and Communities dengan fokus mewujudkan bandar yang selamat, inklusif dan lestari,meningkatkan keselamatan dan keselesaan pejalan kaki serta mempermudah akses ke kawasan tumpuan pelancong pada waktu malam.
“Selain memperindah bandar, projek ini menggunakan teknologi pencahayaan cekap tenaga dan mesra alam sekali gus menyokong agenda bandar rendah karbon. Pelancaran I LITE U turut dimeriahkan dengan pelbagai aktivtiti menarik termasuk perarakan pakaian seragam, persembahan kebudayaan serta perarakan 16 Kontinjen Kuala Lumpur Bercahaya yang melibatkan pelbagai jabatan, agensi, dan pelajar sekolah sepanjang laluan sekitar Pavilion Kuala Lumpur,” katanya.
Pelancaran itu turut diserikan dengan kehadiran Duta Muhibah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Keselamatan Jalan Raya dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),
Tan Sri Michelle Yeoh sebagai simbol sokongan tokoh global terhadap usaha Malaysia mempromosikan imej negara di pentas dunia.-UTUSAN










