Honda sedia bawa masuk orang baharu

Honda sedia bawa masuk orang baharu

PELUMBA Honda, Johann Zarco menunjukkan peningkatan prestasi bersama pasukannya pada musim ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRNO: Bos Honda, Alberto Puig mengakui pihaknya sedang merancang untuk mengambil orang baharu bagi membantu pengarah teknikal, Romano Albesiano dalam pembangunan jentera pasukan.

Pengeluar dari Jepun itu membuat perubahan besar dalam struktur teknikalnya pada hujung tahun lalu apabila mereka menandatangani Albesiano dari Aprilia untuk menjadi pengarah teknikal.

Idea di sebalik langkah itu adalah untuk membawa perspektif Eropah yang baharu dalam pembangunan motosikal bagi membantu Honda yang mengalami kemerosotan dalam kedudukan MotoGP dengan sebahagiannya disalahkan pendekatan berhati-hati yang diambil pasukan tersebut.

Honda menunjukkan peningkatan ketara apabila Johann Zarco memenangi perlumbaan pertamanya dalam tempoh dua tahun di Grand Prix (GP) Perancis dan kemudian meraih podium di GP Britain.

Honda juga difahamkan menandatangani ketua enjin KTM, Kurt Trieb, jurutera yang bertanggungjawab membina enjin MotoGP paling laju setakat ini.

“Kami bergerak mengikut rentak kami dan kami belum berada di tahap yang kami mahukan, tetapi itu tidak bermakna kami berhenti.

“Kami mengambil masa kami tetapi Honda ialah syarikat yang apabila menetapkan satu matlamat, biasanya akan mencapainya. Jadi, mengenai Romano, sudah tentu Romano datang tahun ini.

“Bukan mudah untuk seseorang masuk ke syarikat seperti Honda dan mengubah segalanya dalam masa lima atau sepuluh minit. Jadi, ia akan mengambil masa untuk bersedia.

“Tetapi kami sedang berusaha keras, bukan sahaja di Jepun tetapi juga di Eropah untuk mewujudkan pusat pembangunan baharu, untuk dinamik kenderaan dan kami sedang melakukan banyak perkara. Romano tidak akan bersendirian dan kami malah merancang untuk mengambil orang baharu,” kata Puig. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN