PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memberi jaminan bekalan bahan api domestik negara kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga akhir Mei, meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran global susulan konflik geopolitik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, tahap pemantauan serta kesiapsiagaan syarikat itu telah dipertingkatkan bagi memastikan sebarang gangguan bekalan dapat ditangani dengan berkesan.
Katanya, Petronas turut mempercepatkan perancangan bekalan dengan memendekkan tempoh unjuran daripada tiga bulan kepada sekitar 45 hari bagi membolehkan tindak balas lebih pantas terhadap sebarang gangguan.
Menurut beliau, syarikat itu kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan pelbagai langkah mitigasi telah diambil, termasuk mendapatkan sumber bekalan alternatif bagi memenuhi keperluan tenaga domestik.
“Bekalan bahan api domestik setakat ini terjamin sehingga akhir Mei. Namun, langkah mitigasi bagi tempoh selepas itu juga sedang giat dilaksanakan, termasuk mendapatkan bekalan daripada sumber alternatif.
“Ini merupakan amanah utama Petronas sejak dahulu. Ia bukan hanya melibatkan pengeluaran minyak mentah atau import semata-mata, tetapi merangkumi keseluruhan rantaian bekalan yang digunakan oleh pengguna.
“Ini termasuklah petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan bahan api jet,” katanya dalam program Bicara Naratif Khas, hari ini.
Muhammad Taufik berkata, jaminan bekalan tersebut turut melibatkan aspek pemprosesan, pengangkutan, logistik serta kesiapsiagaan tenaga kerja bagi memastikan sistem rantaian bekalan berfungsi secara optimum.
“Produk yang digunakan rakyat seperti petrol, diesel, LPG dan bahan api pesawat memerlukan sistem rantaian bekalan yang menyeluruh dan efisien.
“Di peringkat hiliran, operasi penapisan turut diteliti semula termasuk penjadualan penyelenggaraan agar tidak menjejaskan bekalan,” katanya.
Mengulas situasi semasa, beliau berkata, krisis tenaga global bukan perkara baharu dan pernah berlaku beberapa kali dalam sejarah, termasuk krisis minyak 1973-1974 yang membawa kepada penubuhan Petronas pada 1974.
“Setiap kali berlaku krisis global, harga tenaga akan melonjak. Namun, tanggungjawab utama Petronas adalah memastikan bekalan tenaga kekal stabil serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya. – UTUSAN










