Harimau Malaya mampu capai ranking ke-120 tahun ini

Harimau Malaya mampu capai ranking ke-120 tahun ini

BARISAN Kesebelasan utama Harimau Malaya ketika berdepan Vietnam pada aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek revolusi skuad kebangsaan mula menampakkan hasil dan diyakini Harimau Malaya mampu menempatkan diri dalam kelompok 120 pasukan terbaik dunia, tahun ini.

Kemaskini terbaharu ranking FIFA, kelmarin menyaksikan skuad bimbingan Peter Cklamovski melonjak ke tangga ke-125 berbanding kedudukan 131 dunia sebelum ini.

Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan, optimis bahawa sasaran menduduki ranking 120 terbaik dunia itu bukan sekadar mimpi, tetapi bakal menjadi realiti.

Katanya, Harimau Malaya mampu terus mendaki ranking jika momentum semasa dikekalkan dan prestasi konsisten dapat diteruskan dalam perlawanan-perlawanan akan datang.

Zainal yang juga Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, usaha memantapkan Harimau Malaya bukan tanggungjawab FAM semata-mata, tetapi memerlukan sokongan menyeluruh.

“Ini satu pencapaian yang membanggakan buat seluruh keluarga bola sepak Malaysia. Kita perlu teruskan sokongan dan doa, Insya-Allah kedudukan kita akan terus naik.

“(Mengenai peluang untuk melangkah lebih jauh) pertama sekali, semua perlu memberi sokongan sepenuhnya lah. Bukan sahaja FAM, tetapi semua keluarga bola sepak harus memberi sokongan yang baik untuk kita maju.

“Kita dah ketinggalan di peringkat antarabangsa begitu lama. Insya-Allah, dengan kendalian pasukan kebangsaan sekarang ini, kita perlu berasa bangga dan memberi sokongan,” katanya selepas Majlis Menandatangani Pembaharuan Perjanjian FAM dan Bank Islam, semalam.

Kali terakhir Harimau Malaya berada dalam kelompok 120 terbaik dunia adalah pada November 2005 apabila menghuni tangga ke-116, namun seleps itu mula merosot sehingga jatuh ke ranking terburuk iaitu ke-178 dunia pada Mac 2018.

Kini, segalanya tampak berubah, dengan prestasi semasa yang semakin meyakinkan, Malaysia dijangka mampu mengutip lebih banyak mata ranking terutamanya dengan tiga lagi perlawanan penting kelayakan Piala Asia 2027 menanti pada tahun ini.

Tiga perlawanan terbabit adalah aksi berdepan Laos pada Oktober sebelum berdepan Nepal pada November.

Anak buah Cklamovski juga akan mengharungi Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 bermula hujung depan dan diundi dalam Kumpulan B bersama Iran, Tajikistan dan Afghanistan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN