KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki bersama anak perempuannya selepas aktif mencuri wang pelancong asing di sekitar Masjid Negara dan Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini.
Turut ditahan bersama mereka iaitu lima lelaki warga asing yang turut aktif melakukan aktiviti itu di sekitar kawasan pelancongan di ibu negara.
Siasatan awal polis mendapati, modus operandi mereka adalah dengan berpura-pura meminta mangsa menunjukkan wang tunai mata wang asing sebelum melarikannya tanpa disedari.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kesemua suspek dipercayai ahli ‘Geng Magic’, kumpulan yang dikenalpasti menjalankan kegiatan jenayah dengan menumpukan sasaran terhadap pelancong asing.
Jelasnya, suspek dikenal pasti sering menyewa hotel bajet atau rumah di luar Kuala Lumpur dan berpindah-randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Siasatan turut mendapati semua suspek berasal dari sebuah negara di Timur Tengah dan memasuki Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam sejak September tahun lalu.
“Kesemua mereka mendakwa pasport masing-masing hilang, siasatan lanjut sedang dijalankan. Kita juga dapati kesemua suspek mengenali satu sama lain walaupun beroperasi di lokasi berlainan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sulizmie Affendy berkata, kejadian pertama dilaporkan berlaki pada 18 Julai lalu pukul 6.30 petang.
Katanya, seorang pelancong bukan warga asing didatangi pasangan lelaki dan wanita yang meminta untuk bergambar di kawasan Masjid Negara, sebelum meminta pula untuk melihat wang tunainya.
“Mangsa kemudian mendapati wang sebanyak AS$600 (RM2,790) dalam begnya berkurang dan mengesyaki pasangan itu mencurinya,” jelasnya.
Menurutnya, bertindak atas risikan, polis menahan empat individu bukan warganegara iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 20 hingga 50 tahun di sekitar Jalan Sultan Ismail pada 22 Julai lalu.
“Pemeriksaan ke atas beg suspek menemukan pelbagai mata wang asing dari lebih 10 negara dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM16,998.16.
“Kesemua suspek direman selama empat hari mulai 23 hingga 26 Julai lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, sebelum ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari bermula 27 Julai hingga 9 Ogos ini,” ujarnya.-UTUSAN









