PETALING JAYA: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Taman Hutan Selangor (FPS) disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, Malaysia buat kali kedua berturut-turut berjaya melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.
Katanya, keputusan penyenaraian ini diumumkan semasa Sesi ke-47 Jawatankuasa Warisan Dunia yang berlangsung dari 6 hingga 16 Julai di Ibu Pejabat UNESCO, Paris, Perancis.
Katanya, pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia ini telah diputuskan oleh 21 ahli Negara Anggota Jawatankuasa Warisan Dunia yang dipengerusikan oleh Prof. Nikolay Nenov dari Bulgaria, hasil daripada usaha pencalonan yang digerakkan sejak tahun 2013.
“Usaha ini telah menetapkan penanda aras antarabangsa melalui kejayaan penghasilan satu ekosistem yang hampir menyamai hutan hujan tropika semula jadi, lengkap dengan kepelbagaian spesies pokok yang tinggi serta kaya dengan komposisi biodiversiti.
“Dengan kejayaan ini, Malaysia secara keseluruhan telah berjaya menyenaraikan enam Tapak Warisan Dunia UNESCO antaranya Taman Kinabalu pada tahun 2000, Taman Negara Gunung Mulu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008).
“Selain itu, Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012) dan Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah (2024),” katanya dalam kenyataan.
FRIM FPS merupakan tapak yang istimewa dan merupakan salah satu inisiatif terawal pemulihan ekosistem hutan tropika berskala besar melalui penanaman semula pokok di bekas kawasan perlombongan bijih timah.
Mengulas lanjut, MOTAC berkata, sehingga kini, sejumlah 1,223 tapak dari seluruh dunia telah berjaya diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia bawah 1972 Konvensyen Mengenai Perlindungan Warisan Budaya dan Alam Semula Jadi Dunia.
“MOTAC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas sokongan padu serta kerjasama erat yang telah diberikan dalam menjayakan pencalonan ini, terutama jabatan serta agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya. – UTUSAN