KEPONG: Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sempena Hari Terbuka FRIM 2025 bagi meraikan ulang tahun ke-40 penubuhan institut itu, hari ini.
Program yang berlangsung sepanjang hari itu berjaya menarik penyertaan masyarakat daripada pelbagai lapisan termasuk pelajar, penyelidik, penggiat industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.
Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Ismail Parlan berkata, sambutan luar biasa itu mencerminkan keyakinan dan sokongan masyarakat terhadap sumbangan FRIM sepanjang empat dekad lalu.
“Program ini merupakan acara kemuncak sambutan ulang tahun FRIM dalam rangkaian program sepanjang tahun yang bertujuan mengeratkan hubungan dengan pelbagai pihak berkepentingan.
“Ia juga menjadi medium untuk memperkenalkan peranan serta pencapaian FRIM kepada orang ramai, sekali gus mengukuhkan kesedaran mengenai kepentingan penyelidikan perhutanan dan kelestarian alam sekitar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka FRIM di sini, hari ini.
Menurut beliau, FRIM akan terus memainkan peranan utama dalam bidang penyelidikan perhutanan tropika, biodiversiti, perubahan iklim, bioteknologi, hasil hutan dan pembangunan produk berasaskan sumber semula jadi.
“Ulang tahun ke-40 ini menjadi titik tolak baharu untuk FRIM terus memberi manfaat melalui penyelidikan berimpak tinggi, inovasi hijau dan pemuliharaan biodiversiti.
“Dengan sokongan berterusan semua pihak, saya yakin FRIM akan kekal relevan dan berwibawa sebagai institusi penyelidikan unggul demi kesejahteraan rakyat serta generasi masa depan,” ujarnya.
Seawal pagi, orang ramai mula memenuhi kawasan kampus utama FRIM untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik antaranya FRIMazing Race, lawatan ke Jejantas Rimba (Forest Skywalk), denai alam, pameran penyelidikan, demonstrasi teknologi serta sesi perkongsian ilmu.
Difahamkan, terdapat juga Pameran Konservasi Gajah oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia manakala pusat penyelidikan berprestij seperti Herbarium, Insektarium, Pusat Teknologi Herba (HTC), Galeri Buluh dan Rotan dibuka kepada orang ramai.
Menariknya, sambutan kali ini lebih istimewa apabila FRIM baru-baru ini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO keenam di Malaysia dan yang pertama di Selangor, sekali gus menambah tarikan kepada pengunjung .
Majlis turut menyaksikan acara simbolik penanaman pokok jelutong oleh Ismail bersama tetamu kehormat sebagai tanda kejayaan penanaman 100,000 pokok di bawah Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. – UTUSAN







