]KUALA LUMPUR: Industri pelancongan tempatan digesa lebih agresif meningkatkan kerjasama dengan rakan antarabangsa khususnya ejen pelancongan luar negara bagi menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ejen pelancongan memainkan peranan penting sebagai penghubung utama dalam mempromosi destinasi baharu, menawarkan pakej bersepadu dan memastikan pelancong asing mendapat pengalaman berkualiti.
“Malaysia mempunyai kelebihan dari segi produk pelancongan, budaya dan hospitaliti, namun kelebihan itu tidak akan menyerlah tanpa jaringan kerjasama lebih agresif dengan agensi pelancongan antarabangsa yang berupaya membawa masuk kumpulan pelancong berskala besar.
“Promosi perlu dilakukan secara lebih aktif, kreatif dan bersasar khususnya dalam platform digital. Tonjolkan di pasaran antarabangsa dengan naratif yang segar dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan mandat pada sesi Mesyuarat Pengarah-Pengarah Tourism Malaysia Luar Negara 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) kementerian, S. Surrendren dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Chua Choon Hwa.
Tambahnya, dalam masa sama, akses penerbangan terus dari pasaran utama juga perlu diperluas bagi memudahkan kemasukan pelancong.
“Kerjasama erat antara sektor awam dan swasta termasuk syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, agensi digital serta ejen pelancongan luar negara amat penting bagi menyokong sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026),” katanya.
Tambah King Sing, kerajaan sebelum ini menyasarkan sekurang-kurangnya 35 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan melebihi RM147 bilion pada TMM2026.
Dalam konteks berkenaan, beliau mengingatkan pemain industri pelancongan supaya tidak bergantung kepada cara lama, sebaliknya menawarkan pakej bernilai tambah berteraskan keunikan Malaysia.
Ia termasuk ekopelancongan, pelancongan kesihatan dan pengalaman komuniti desa yang semakin mendapat permintaan.
Beliau turut optimis tahun ini Malaysia akan menerima kedatangan 40 juta pelancong selepas mencatatkan 38 juta pada tahun lalu.
“Sehingga Jun lalu, kita sudah menerima 20.6 juta pelancong. Jadi, saya percaya sasaran 40 juta itu boleh dicapai dengan kerjasama semua pihak.
“Kita tidak boleh berpuas hati kerana persaingan destinasi lain juga amat sengit,” katanya.
Jelasnya, pasaran utama seperti China, India, Timur Tengah serta negara Asia Tenggara lain akan terus diberi penekanan dengan kempen pemasaran bersesuaian. – UTUSAN










