PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggesa semua pemain industri pelancongan agar segera mengemukakan data operasi dan kewangan yang lengkap bagi membolehkan langkah sokongan dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihak industri perlu mempercepatkan penyerahan data yang diperlukan supaya sebarang bentuk bantuan dapat dirangka dan dilaksanakan dalam tempoh sewajarnya.
Menurut beliau, kementerian kini sedang berkomunikasi rapat dengan Kementerian Kewangan bagi meneroka kebolehlaksanaan memperkenalkan mekanisme rebat cukai yang disesuaikan khusus untuk sektor pengangkutan pelancongan.
“Objektif utama adalah untuk meringankan tekanan kos yang dihadapi oleh pengusaha, di samping memperkukuh daya tahan sektor ini serta memastikan kelangsungan operasi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menegaskan, kerajaan sememangnya bersedia membantu industri berdepan cabaran semasa, namun sebarang bentuk bantuan perlu berasaskan data yang jelas dan keperluan sebenar.
“Ini penting bagi memastikan reka bentuk dasar tepat, peruntukan sumber berkesan dan akauntabiliti awam terus terpelihara.
“Oleh itu, kami menggesa pemain industri untuk mengemukakan data operasi dan kewangan yang lengkap serta boleh disahkan, termasuk penyata hasil dan rekod berkaitan bagi membolehkan penilaian struktur kos dilakukan secara tepat,” katanya.
Tambah beliau, kementerian ketika ini tidak memerlukan maklum balas umum, sebaliknya data terperinci seperti model operasi, kekerapan perjalanan, penggunaan bahan api, jumlah penumpang serta trend hasil dan kos.
Katanya, hanya dengan data yang telus dan menyeluruh, langkah sokongan dapat dirangka secara bersasar dan bukan dilaksanakan secara seragam.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui wujud perbezaan struktur dalam industri berkenaan, khususnya antara perkhidmatan bas ekspres dan bas persiaran.
“Bas ekspres beroperasi di laluan tetap dengan permintaan lebih stabil, sekali gus memudahkan penilaian struktur kos.
“Sebaliknya, bas persiaran lebih fleksibel dari segi laluan, penggunaan bahan api dan jumlah penumpang, menjadikan operasinya lebih berubah-ubah,” katanya.
Justeru, katanya, perbezaan tersebut akan diambil kira bagi memastikan sebarang langkah sokongan yang diperkenalkan adalah lebih praktikal dan memenuhi keperluan sebenar industri.-UTUSAN










