KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kesal dengan kesulitan yang dihadapi berhubung kekeliruan yang timbul susulan dakwaan hidangan arak dalam satu majlis makan malam baru-baru ini.
King Sing berkata, pihaknya mengambil kira pandangan semua pihak dengan serius sambil menegaskan majlis berkenaan bukan acara rasmi kerajaan.
“Saya dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyesali sebarang kekeliruan dan salah faham yang menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat. Sekali lagi, kesulitan amat dikesali,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, King Sing berkata, majlis makan malam itu dihadiri kira-kira 600 penggiat industri pelancongan luar negara dan dianjurkan sepenuhnya oleh pihak swasta sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan negara.
Katanya lagi, majlis itu berjaya memeterai potensi jualan pelancongan bernilai RM100 juta.
“Penggiat pelancongan ambil alih cuma persiapan, ini tidak lagi jadi makan malam rasmi. Cuma logo kita,” katanya.
Katanya, majlis berkenaan tidak tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan 3/2003 kerana ia bukan acara rasmi kerajaan.
“Saya tekankan majlis makan malam itu bukan rasmi tetapi anjuran swasta, oleh itu pekeliling perkhidmatan 3/2003 tidak terpakai dan isu berkaitan arak tidak sepatutnya timbul,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengambil iktibar kejadian menghidangkan arak dalam acara rasmi kerajaan dan akan memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan serta etika yang ditetapkan.
Ia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada King Sing serta kementerian itu supaya memastikan bahawa kesilapan menghidangkan arak dalam acara rasmi kerajaan tidak berulang. – UTUSAN










