WASHINGTON: Leylah Fernandez mempersembahkan aksi luar biasa untuk menewaskan Anna Kalinskaya dari Rusia 6-1, 6-2 dan menjuarai kejohanan Terbuka DC dalam masa hanya sejam.
Kejayaan ini menghadiahkan pemain Kanada berusia 22 tahun itu gelaran WTA 500 pertama dalam karier serta kejuaraan sulungnya sejak 2023.
Lebih manis, Fernandez mara ke final selepas menyingkirkan pilihan utama Jessica Pegula dan bekas juara Wimbledon, Elena Rybakina dalam perjalanan ke gelaran keempat kerjayanya.
“Awal kejohanan saya masih ragu-ragu, tapi apabila semakin jauh, saya mula bermain dengan lebih baik.
“Saya harungi pelbagai cabaran minggu ini, kekejangan, perlawanan panjang, cuaca panas dan lembap. Semua itu buat saya lebih kuat,” kata Fernandez.
Fernandez tidak memberi peluang sejak awal apabila mematahkan servis Kalinskaya seawal set pertama yang hanya mengambil masa 30 minit.
Dua lagi break pada kedudukan 2-1 dan 4-1 cukup untuk mengikat kemenangan dengan hanya memerlukan dua match point untuk menoktahkan perlawanan.
Bakal beraksi di kejohanan Terbuka Kanada minggu ini, Fernandez menjangkakan cabaran lebih besar di tanah airnya sendiri.
“Montreal adalah raksasa yang berbeza. Kejohanan lebih panjang, undian lebih besar, semuanya bermula dari kosong,” katanya. – AGENSI