INDIAN WELLS, California: Novak Djokovic belum terfikir untuk bersara daripada dunia tenis kerana percaya masih mampu bersaing dan menewaskan pemain terbaik dunia.
Pemain Serbia berusia 38 tahun itu berkata, selagi dia memiliki semangat, kualiti serta motivasi untuk beraksi di tahap tertinggi, tiada sebab untuk menamatkan kariernya.
Djokovic membuktikan kemampuannya apabila menewaskan juara bertahan Jannik Sinner dalam perlawanan separuh akhir yang mendebarkan di Terbuka Australia, Januari lalu.
Bagaimanapun, pemain veteran itu terpaksa akur tewas kepada pemain No.1 dunia, Carlos Alcaraz dalam perlawanan akhir kejohanan tersebut.
“Saya sudah membuktikan kepada diri sendiri dan juga orang lain bahawa saya masih boleh bersaing di peringkat tertinggi serta menewaskan pemain terbaik.
“Jadi secara logiknya, kenapa saya perlu berhenti selagi masih ada semangat, bakat dan motivasi?” kata Djokovic kepada pemberita di Indian Wells.
Djokovic turut menjelaskan beliau kini lebih selesa memilih jadual pertandingan sendiri yang kebanyakannya tertumpu kepada empat kejohanan Grand Slam selain beberapa kejohanan utama lain. – AGENSI/UTUSAN










