SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan kes berhubung program motivasi rumahtangga, EHati yang didakwa berlangsung pada 27 hingga 30 September tahun lalu sebagai songsang dan terpesong.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (doktrin palsu).
“Ia disyaki melibatkan kesalahan berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.
“JAIS akan memanggil beberapa individu pada Selasa ini bagi membantu siasatan. Selain itu, kita telah berbincang dengan polis dan bekerjasama menyiasat mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya hari ini.
Jelas Mohd. Shahzihan, pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai kejadian berkaitan program yang berlangsung pada September tahun lalu.
“Namun, pada 2022, JAIS menerima aduan bekas peserta yang mengaitkan eHati dengan beberapa isu yang disifatkan tidak wajar dan tidak sesuai menjadi sebahagian modul dalam program itu.
“Berdasarkan aduan itu, penganjur telah dipanggil panel pendengaran di bawah Jawatankuasa Pengawalan Akidah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan diminta mengubah beberapa modul agar menepati syarak,” ujarnya.
Tambah beliau, JAIS memandang serius perkara seumpama itu dan akan mengambil angkah perlu bagi membanteras aktiviti yang bertentangan dengan hukum syarak dan nilai etika.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai program itu diminta menghubungi Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan di talian1800-88-2424 atau hadir terus ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai kaitan dengan program itu yang dianjurkan secara persendirian.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan akan menjalankan siasatan secara terperinci bersama JAIS bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi itu.
Seorang pengguna media sosial mendedahkan program itu dianjurkan sepasang suami isteri dan dua wanita didakwa turut melakukan tarian bogel.
Selain itu, peserta didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh singkat dan mereka turut dipercayai disuruh melakukan upacara mandi suci dan kelahiran semula yang menyerupai ritual keagamaan lain. – UTUSAN