eHati: Program serupa didakwa turut dianjur di Bali

eHati: Program serupa didakwa turut dianjur di Bali

eHati
MOHAMMAD Fahmi Ngah ditemui pemberita pada Majlis Penerimaan Malaysia Book of Records oleh Leading Innovative Technologies and Systems Sdn. Bhd, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pihak berkuasa memperluas siasatan terhadap penganjuran program motivasi rumah tangga eHati selepas didapati ia bukan sahaja berlaku di Selangor, tetapi turut diadakan di negara jiran.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, polis bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang meneliti dan menyiasat penganjurannya termasuk aktiviti berbogel yang dipanggil sebagai Queen’s Night.

“Kes itu sedang disiasat dan saya dimaklumkan siasatan bukan hanya di Selangor tetapi menjangkau ke negara jiran kerana program-program itu dibuat di Bali, Indonesia dan sebagainya.

“Program itu ia seperti kaunseling atau terapi secara berkumpulan untuk mencapai matlamat keluarga bahagia. Tetapi, ada aduan yang mengatakan ada aktiviti yang dilakukan sedikit ekstrem, kurang sesuai dengan budaya kita,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan JAIS memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan kes berhubung program motivasi rumahtangga, eHati yang didakwa berlangsung pada 27 hingga 30 September tahun lalu sebagai songsang dan terpesong.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, JAIS menjalankan siasatan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (doktrin palsu).

Pada 20 Julai lalu, Polis Selangor sebelum ini memaklumkan seramai 90 individu telah dirakam keterangan berhubung siasatan yang dijalankan itu termasuk fasilitator, peserta serta kakitangan syarikat yang terlibat.

Kata Mohammad Fahmi, sehingga kini polis dan pihaknya sedang mengumpul fakta-fakta berkaitan bagi mengenal pasti tindakan perundangan khususnya berkaitan penguatkuasaan di bawah kerajaan negeri.

“Kita kena tengok fakta yang ada dan setakat ini fakta-fakta lain sedang dikumpul oleh pihak berkuasa. Tetapi, siasatan juga melibatkan polis,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN